“Maklumat di hujung jari anda dan kuasa maklumat merentasi dunia tanpa sempadan”. Demikianlah antara ungkapan yang sering berlegar dalam kehidupan masa kini. Perubahan drastik dalam arus teknologi maklumat menjadi wahana baru kepada manusia. Kuasa teknologi maklumat mampu menakluki sesebuah wilayah tanpa memerlukan tentera mengangkat senjata atau pertumpahan darah. Dalam menyaingi arus globalisasi yang terlalu pantas itu, rakyat Malaysia juga hendaklah digerakkan daripada sikap buta komputer kepada celik komputer.
Oleh itu, kempen “Sebuah Rumah Sebuah Komputer” seperti yang diuar-uarkan oleh pihak kerajaan sedikit masa dahulu hendaklah disambut dengan perasaan positif oleh segenab lapisan rakyat. Hal ini amat relevan dengan masa dan keadaan kerana komputer begitu signifikan dalam arus perdana sekarang. Dalam menangani revolusi maklumat yang amat deras itu, beberapa strategi perlu disusun secara sistematik agar kempen tersebut membuahkan hasil yang lumayan.
Antara faktor utama kempen ini digagaskan termasuklah untuk meningkatkan tahap celik komputer dalam kalangan rakyat Malaysia. Wahana ini begitu penting kerana berdasarkan hasil ujian Asian Microsoft Incorporated mendapati hanya 20% rakyat Malaysia yang celik komputer. Fenomena ini amat tidak sejajar memandangkan Malaysia adalah antara Negara terawal di wilayah Asia Tenggara yang mengambil inisiatif menyediakan pelbagai prasarana teknologi maklumat seperti mewujudkan Koridor Raya Multimedia, Sekolah Bestari, dan kursus-kursus yang berasaskan multimedia sama ada di institusi pendidikan awam atau swasta.
Selain itu, sebagai Negara yang pesat dan pantas membangun dalam sektor sosioekonomi dan politik, rakyat Malaysia tidak sepatutnya masih terperap dalam budaya lesu ”seperti katak di bawah tempurung”. Dengan adanya sebuah komputer di rumah seolah-olah kita sudah menyediakan prasarana untuk membentuk rakyat yang terbuka minda, celik akal, dan celik maklumat dalam arus perdana maklumat tanpa sempadan.
Dalam dunia moden dengan lingkaran maklumat global seperti sekarang, kita sepatutnya lebih pantas melangkah ke depan memajukan Negara dalam semua bidang. Bagi mencapat hasrat itu, rakyat hendaklah dijanakan minda mereka untuk menjadi warga yang berfikir, pintar, kreatif, serta inovatif. Sesungguhnya, maklumat merupakan senjata di barisan hadapan supaya kita lebih bersedia berhadapan dengan apa-apa jua cabaran yang mendatang.
“Jika tidak dipecahkan ruyung di manakan dapat sagunya”. Demikianlah amaran peribahasa bahawa tiada suatu pun yang mampu diperoleh tanpa usaha dan strategi. Kemudahan prasarana dan infrastruktur tanpa ilmu dan kemahiran adalah sia-sia. Selain menyediakan peralatan yang mencukupi, rakyat hendaklah dibekalkan dengan pendidikan teknologi maklumat juga. Oleh itu, pihak sekolah menjadi “kilang” pertama membentuk acuan mahir komputer kepada pelajar.
Sesungguhnya, kempen ini amatlah relevan pada masa dan keperluan masa kini. Kita tidak boleh lagi melangkah surut ke belakang dengan membiarkan arus global ini berlari pantas. Kemajuan Negara kita hendaklah bergerak seiringan dengan kemajuan industri maklumat agar kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama gagah dengan bangsa-bangsa lain.
Justeru, rakyat Malaysia hendaklah juga diperlengkapkan dengan pelbagai pengetahuan termasuklah kemahiran perkomputeran, ibarat menyediakan senjata canggih kepada semua soldadu sebelum melangkah masuk ke medan juang.
No comments:
Post a Comment